Buku Ibrah Sirah Untuk Bisnes

Sirah Rasulullah ﷺ adalah satu penceritaan mengenai perjalanan hidup baginda yang dilalui semasa hayatnya. Dalam segala rakaman peristiwa yang terjadi kepada baginda, keluarganya dan para sahabat adalah khazanah yang tidak ternilai untuk menjadi panduan kehidupan kepada kita.

Biarpun berbeza zaman, sirah dapat menjadi panduan dan pegangan untuk memudahkan kehidupan kita pada zaman serba moden ini. Segala perisitiwa yang terjadi pada zaman baginda mempunyai ibrah yang bernilai jika dibaca dan dihayati. Selain menuruti apa yang dilakukan oleh baginda bakal memperoleh pahala sunah, ia dapat memberikan idea untuk kita menyelesaikan masalah kehidupan kita kini.

Idea ini amat mahal terutama dalam dunia yang tepu dengan maklumat. Segala pengetahuan mudah diperolehi hanya menggunakan teknologi. Begitu yang terjadi kepada usahawan atau businessman, mereka perlukan idea untuk memandu perjalanan musafir bisnes mereka ke arah yang lurus dan betul. Ia membuatkan mereka mengikuti kehendak pencipta supaya memperoleh keberuntungan dunia dan akhirat.

Jadi, buku ini meneroka ibrah sirah junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ untuk disesuaikan dengan kehendak golongan usahawan mahupun sesiapa yang mahu memulakan bisnes. Empat tema menjadi tunjang buku ini iaitu Tauhid, Akhlak, Kepemimpinan dan Pengurusan yang diulas supaya memudahkan penghayatan kepada inti pati ibrah sirah untuk bisnes.

Diharapkan penulisan yang berasaskan penulisan sirah oleh ulama muktabar dapat menjadi asas untuk mendapatkan ibrah sirah baginda. Buku ini bukan suatu penulisan semula sirah, ia hanya menjadi asas konsep buku untuk memudahkan para usahawan membaca dan menghayati ibrah sirah daripada kehidupan Nabi Muhammad ﷺ.