Serumpun Serai, Seribu Idea Bisnes

Ramai orang mahu berbisnes, tambahan lagi jika ‘habuan dunia’ mampu menjamu kehidupan dengan segala yang diiginkan. Saya juga dahulu begitu, letak sasaran buat bisnes untuk mendapatkan segala kekayaan.

Walaupun bukanlah jadi satu kesalahan untuk kaya harta dunia, tetapi silap saya hanya pada tidak letak reda Allah dahulu. Sebut reda itu senang, merasai dan mengamalkan ia susah. Sudahnya, apa yang dinginkan tak dapat, tetapi diuji dengan pelbagai cabaran dalam bisnes.

Saya akur dan tewas, rasa macam tidak mahu berbisnes lagi. Beban hutang makin bertambah, lama-lama saya pindah duduk kampung tanam Serai. Hari-hari seolah-olah ‘bercakap dengan Serai’. Cari apa silap dan di mana buruknya tindakan saya berbisnes inginkan sangat dunia.

“Apa teruk sangat aku ni, buat itu-ini semua tak jadi?”

Serai serumpun itu hanya melentok-liuk tak bercakap dengan saya, memang takdirnya begitu. Saya teruskan berkata-kata;
“Sampai semuanya lari, kawan yang dulu baik sekarang entah mana pi…” Ngomel seorang depan Serai yang tetap tidak becakap. Saya tanya lagi;

“Hutang bukan lagi paras hidung, tenggelam habis aku sampai lemas, boleh ka aku bayar semua.” Itu luahan penghujung setiap hari, sambil mencungkil tanah.

Luahan di hadapan Serai seakan nampak seolah-olah Siri Bercakap Dengan Serai, biarpun ia makluk yang memang tak boleh berkata-kata, namun ciptaan Allah bukan sia-sia. Hijau daun dengan rumpunan yang mengembang, mendamaikan sementara hati yang resah soal dunia.

Rupanya, itulah ruang untuk saya berfikir sambil berbudi pada tanah. Berfikir ini menjadi muhasabah banyak silap saya kerana bisnes untuk kaya dunia. Muhasabah ini menjadi titik tolak kehidupan baru bisnes saya.

Kemudian, saya bangkit kembali dengan menukar niat untuk berbisnes bagi bayar hutang yang tertunggak, supaya akhirat nanti tak ‘sesak’.
Kemudian, semangat itu datang dengan sendiri tanpa banyak bergantung pada manusia. Sambut dahulu cabaran untuk bisnes mendapat reda Allah dengan mengumpulkan rezeki yang Dia berikan untuk membayar segala hutang lapuk.
Alhamdulillah itu berjaya, kemudian kembangkan lagi ‘heading’ bisnes untuk menawarkan peluang pekerjaan bagi ramai orang di luar sana. Menyediakan pekerjaan, bermakna saya mempunyai tanggungan lagi besar.
Begitulah tuan dan puan, dalam ibrah sirah baginda Rasulullah ﷺ, perjuangan utama baginda dan sahabat, keluarkan segala ‘perhambaan’ kepada dunia. Kemudian menanamkan akhlak mulia untuk berjaya dalam hidup dunia mahupun akhirat.
Jadi, kita keluarkan segala pergantungan kepada manusia ataupun dunia. Sebab dahulukan reda Allah, usahawan mudah tempuh segala halangan sebesar mana pun. Janji tidak fikir yang dunia akan selamatkannya, hanya Allah mampu selamatkan kita daripada segala bahana…

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *